Lama entri “I Want To Be A Mom” tertangguh, sebabnya apabila saya dah balik rumah, malas sangat nak buka PC dan menaip walaupun idea berkepuk-kepuk hinggap di kepala saya. Sudahnya begitu sahaja idea tersebut berterbangan bak burung-burung liar yang singgah untuk
minum air sahaja.
Kali ni saya nak berkongsi mengenai doa Nabi Zakaria A.S. yang berdoa agar Allah S.W.T mengurniakan anak kepadanya. Sebenarnya Nabi Zakaria A.S. dan isterinya telah tua, namun tidak ada apa yang mustahil jika Allah S.W.T berkehendak. Dalam sejarah, Nabi Zakaria A.S. adalah penjaga kepada Maryam yakni ibu kepada Nabi Isa. A.S. Maryam pula adalah anak kepada Imran yang terkenal dengan ketaatannya dalam beragama.
Sesungguhnya doa adalah senjata orang mukmin, dan doa juga dikira satu usaha. Peringatan ini untuk diri saya dan teman-teman yang menghadapi masalah yang sama. Jangan sesekali putus
harapan.
Saya letakkan nama ayat supaya anda boleh cari di rumah, cari di internet pun boleh. Ayatnya ialah:
1) Surah Al-Anbiya’ ayat 89 yang bermaksud Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Zakaria, ketika dia merayu kepada Tuhannya dengan berkata: Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat) dan Engkaulah jua sebaik-baik yang mewarisi.
2) Surah Ali-Imran ayat 38 yang bermaksud Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya: Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan.
Adab-adab Berdoa:
1. Dilakukan pada saat-saat yang mulia, seperti hari ‘Arafah, bulan Ramadhan, hari Jumaat, antara dua khutbah solat Jumaat, antara azan dan iqamah dan sebagainya.
2. Dilakukan dengan penuh khidmat
3. Menghadap ke kiblat dan menadahkan kedua-dua belah tangan.
4. Merendahkan suara, sekadar dapat didengar oleh telinga sendiri.
5. Menggunakan bahasa yang sederhana atau lebih diutamakan menggunakan doa-doa yang berasal daripada Rasulullah saw, para sahabat dan tabiin.
6. Khusyuk dan merendahkan diri.
7. Meyakini bahawa doanya akan dikabulkan dan tidak merasa kecewa atau berputus asa apabila doanya belum dikabulkan.
8. Mengulang-ulangi doanya dengan penuh keyakinan.
9. Memulai doanya dengan menyebut nama Allah, memuji Allah dan berselawat ke atas Nabi Muhammad saw, serta diakhiri dengan bacaan hamdalah atau kalimah yang memuji Allah.
10. Melaksanakan adab batin, yakni:
i. Bertaubat sebelum berdoa.
ii. Menghadapkan diri sepenuhnya kepada Allah.
iii. Makan dan minum serta berpakaian dari barang yang halal.
iv. Tidak meminta perkara-perkara yang mustahil.
v. Tidak meminta untuk mencelakakan orang lain, kecuali orang yang zalim.
Waktu-waktu yang mustajab untuk berdoa:
1. Waktu sepertiga malam yang akhir
2. Sewaktu berbuka puasa bagi orang yang berpuasa
3. Doa selepas solat fardhu
4. Doa di dalam sujud
5. Sesaat pada hari Jumaat
6. Ketika Lailatulqadar
7. Ketika Hari Arafah
8. Doa antara Azan dan Iqamah
9. Ketika Hujan
p/s: Adab-adab dan waktu mustajab untuk berdoa saya copy-paste saje. Tujuan saya, mudahan-mudahan sebelum berdoa kita akan teringat dengan perkara yang patut atau tak patut dibuat semasa berdoa.
1 comment:
Semoga ade rezeki akak nanti menimang cahaya mata...berusaha + berdoa insyaAllah Allah akan bagi jugak..cuma lambat atau cepat je...bersabar :)
Post a Comment